Mountain View

Sekolah baru di Gua Musang

GUA MUSANG 2 Julai - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM100 juta untuk membina tiga sekolah bagi meningkatkan taraf pendidikan di kawasan Parlimen Gua Musang.
Tiga sekolah yang terlibat itu ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Gua Musang menelan belanja lebih RM40 juta, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Betis (RM50 juta) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pulai sebanyak RM2.5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, pelbagai projek yang dibangunkan di bandar itu adalah sebagai balasan terhadap sokongan rakyat Gua Musang yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap kerajaan selama ini.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mungkir janji dan sentiasa melaksanakan pembangunan bagi kesejahteraan rakyat.
"Diharapkan dengan selesainya pembinaan sekolah ini dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus maju dalam pelajaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada masa sama, Ab. Aziz berkata, pihaknya turut memberi jaminan pembinaan ketiga-tiga sekolah tersebut akan berjalan dengan lancar.
"Bagi SM Sains Gua Musang, saya difahamkan pembinaannya telah mencapai 80 peratus setelah pembinaan tertangguh beberapa kali dan dijangkakan pengambilan pelajar akan dibuat pada tahun hadapan.
"Selain itu, pembinaan bangunan baharu SJKC Pulai juga hampir siap dan tapak pembinaan SMK Kuala Betis juga telah dikenal pasti iaitu di Kampung Panggung Lalat," ujarnya.
Katanya, pembinaan SJKC itu juga membuktikan kerajaan memberikan perhatian kepada semua kaum terutama dalam bidang pendidikan.
"Bagi SJKC Pulai, kita membina bangunan baharu bagi menggantikan bangunan kayu yang tidak lagi selamat untuk digunakan dan SMK Kuala Betis merupakan sekolah menengah pertama bagi kaum Orang Asli yang bermatlamat untuk mengatasi tahap keciciran pelajar yang tinggi setiap tahun.
"Pemilihan tapak sekolah menengah Orang Asli di Kampung Panggung Lalat dipilih kerana kawasan tersebut berhampiran dengan perkampungan mereka," katanya.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Timur/20140703/wt_04/RM100-juta-bina-tiga-sekolah-baharu-di-Gua-Musang#ixzz3lIiLLYEJ 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Share on Google Plus

Tentang pkgguamusang

Diterbitkan oleh JTK PKGGM.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment